Sunday 21 February 2010

القول في إجتناب المعاصي (Seruan dalam menjauhi maksiat 1)



Perjalanan seorang abid dalam mencari makna kebahagian dunia akhirat atas redha ilahi terbahagi kepada 2 keadaan yang mesti dilaluinya supaya tujuan yang dia kehendaki akan tercapai, 2 keadaan itu ialah:

1. meninggalkan apa yang di tegah. ترك المناهي

2. melakukan ketaatan. فعل الطاعات


Diantara kedua-dua syarat ini, yang paling berat untuk kita ikuti adalah meninggalkan apa yang ditegah (ترك المناهي). Kerana meninggalkan apa yang diinginkan oleh nafsu hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang jujur sahaja (الصديقون). iaitu orang yang jujur kerana Allah yang sentiasa melawan perasaan nafsu didalam dirinya yang membawa kepada kejahatan serta melakukan apa yang dilarang oleh syariat.

Perlulah diketahui bahawa, jika melakukan perbuatan dosa. kita melakukan dengan anggota badan kita. sedangkan anggota badan ini adalah nikmat pemberian dari Allah dan amanah yang mesti kita jaga. jika kita membantu nikmat Allah ini kepada jalan maksiat itu dinamakan kufur dengan nikmatnya. Pengkhianatan dalam amanah yang telah diberikan ini dinamakan kezaliman. Tubuh badan ini di bawah penjagaan kita. seharusnya di lihat bagaimana kita menjaganya.
"Setiap dari kamu ini adalah penjaga (ketua) dan kamu akan ditanya apa yang telah kamu jagakan (kumpulkan)"
Kita juga diingatkan bahawa tubuh badan kita di akhirat kelak akan menjadi saksi yang kukuh terhadap perbuatan kita. Ia bertutur kata dengan jelas dan menerangkan segala perbuatannya kepada tuhan penciptanya.

Sebagaimana firman Allah taala :
يوم تشهد عليهم السنتهم وأيديهم وأرجلهم بما كانوا يعملون
Maksudnya: "Pada hari (ketika) lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan." - surah annur:24

Firman Allah taala lagi:
اليوم نختم على أفوههم وتكلمنا أيديهم وتشهد ارجلهم بما كانوايكسبون
Maksudnya: "Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan." - surah yasin: 65

Inilah yang akan terjadi di akhirat kelak, keadaan kita sebelum ditentukan sama ada ke syurga atau neraka. kita akan diperlihat perjalanan hidup dari lahirnya kita sehinggalah nyawa di angkat kepada-Nya. kemudian ditanya setiap perbuatan jahat dan baik. Yang menjawab segala persoalan itu hanyalah anggota tubuh badan kita. ia akan bersuara dengan lantang sekali dengan jawapan yang jujur dan tidak akan sekali-kali berbohong dihadapan Allah tuhan penciptanya.

Aduhai malangnya diri ini! Jika perbuatan dosa masih lagi aku lakukan.
Alangkah bahagianya milik diri ini! Kerana perbuatan baik dapat lagi aku teruskan.

Secara zahirnya kalau dilihat dan kita perhatikan serta amati dengan jelas. kita melakukan perbuatan dosa kepada Allah dengan 7 benda yang ada pada diri kita iaitu :
  1. Mata.
  2. Telinga.
  3. Lidah(lisan).
  4. Perut.
  5. Kemaluan.
  6. Tangan.
  7. Kaki.
Adakah kita perasan dengan 7 benda ini kita banyak melakukan dosa kepada-Nya?kita hanya mengikut nafsu dan perasaan. Tidak menghiraukan langsung akibatnya. Hanya tahu seronok dan gembira sahaja melakukannya. Itulah nafsu, raja dalam diri.

Ingatkah kita pada neraka? ianya diciptakan mempunyai 7 pintu bertepatan dengan 7 anggota tubuh badan ini. Jika seseorang itu melakukan dosa memang selayaknya ia memasuki pintu-pintu neraka itu. -Na'uuzubillah min zalik-

Allah berfirman dalam Al-quran :
ومنهم من يقول ربنا اتنا في الدنيا حسنة وفي الاخرة حسنة و قنا عذاب النار
Maksudnya : " Dan diantara mereka ada yang berdoa : "Ya tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" - Surah Al-baqarah : 201

Insya Allah akan bersambung penghuraian tentangnya dalam artikal yang akan datang. Wallahua'lam


No comments:

Post a Comment