Wednesday 22 September 2010

Keinginan kembali pada-Nya



Suatu keinginan kuat yang diletakkan didalam hati seorang hamba yang keinginan itu tiba-tiba cuba mengejutkannya merisaukannya dan mengajaknya mengadap Allah dan hari akhirat. Serta berpaling dari dunia dan berpaling dari hamba-hamba yang sibuk dengan dunia dari membangunkannya , merebutinya, bersenang-senang dengan hawa nafsunya.

Seumpama perasaan jemu terhadap dunia kekadang muncul di lubuk hati seseorang dan terasa ingin kembali pada-Nya.

Itulah Nafahat (hembusan-hembusan hidayah dan inayah (pertolongan Allah)) yang muncul di lubuk hati seseorang.

Keinginan yang dirasai ini adalah nafahat dari Allah merupakan diantara tentera-tentera Allah albatinah (yang tidak nampak). Yang dihantar oleh-Nya kerana ingin memberi kebaikan kepada hamba itu.

Bagaimana keinginan atau nafahat ini muncul?

Kebiasaan dan kebanyakannya keinginan atau nafahat ini akan muncul ketika kita merasa takut , mengharap, merindui Allah dan juga ketika melihat ahlillah (orang yang dekat hatinya dengan Allah) serta pandangan mereka kepada kita. Dan kadang-kadang pula ia datang dengan tanpa bersebab.(iaitu ada seseorang yang mendoakan kita dengan hidayah-Nya)

Ingat!bagi setiap yang bernama hamba pada Allah mencari nafahat (hembusan hidayah) ini adalah suatu yg disuruh dan suatu yang diharapkan. Bukannya hanya menunggu dan berdiam diri tanpa mencari dan tanpa meminta di pintu2 rahmat.

Sesungguhnya nabi Muhammad s.a.w ada bersabda: sesungguhnya bagi tuhan kamu ada hari2 dalam waktu kamu dari hembusan2 hidayah-Nya maka carilah (hembusan) itu didalam hari-harimu.

Bagi seseorang yang ingin kembali kepada Allah yang telah merasai kewujudan keinginan ini mestilah melaksanakan 3 perkara iaitu:

1. Menguatkannya

2. Menjaganya

3. Menyahutnya.

Untuk menguatkannya mestilah dengan sentiasa mengingati Allah, berfikir tentang kehebatan kekuasaan penciptaan-Nya dan berjumpa dengan ahlillah (dengan cara menghadiri majlis ilmu).

Untuk menjaganya mestilah menjauhi dari duduk bersama orang yang melakukan kemungkaran kepada Allah dan berpaling dari was-was syaitan.

Dan menyahutnya pula mestilah bersungguh-sungguh tidak menangguh untuk kembali kepada Allah, dan benar serta jujur dalam mengadap Allah.

Janganlah menangguh-nangguh serta melewat-lewatkan untuk menuju kebaikan. Kerana itu daripada perbuatan syaitan.

Kerapkali kita dengar “peluang itu hanya datang sekali sahaja” jadi rebutlah dan sahutlah peluang yang Allah beri ini. Pintu rahmat telah terbuka maka masuklah , teruslah berjalan menuju Allah dan jangan berhenti menoleh kiri dan kanan, sesungguhnya jalan hidayah itu lurus, jika dilihat dikiri dan kanan mempunyai pintu maka janganlah kamu masuk kerana itu adalah godaan syaitan dan juga nafsu. Apabila kamu telah buka pintunya lalu memasukinya nescaya susah bagimu untuk keluar darinya.

Dengarlah kata-kata abu robie’ rahimahullah : "menujulah kepada Allah dalam keadaan sakit dan serba kekurangan , dan janganlah menunggu waktu sihat(senang) kerna sifat menunggu waktu sihat(senang) itu adalah suatu perbuatan yang melampaui batas."

Dan abu ‘atoillah dalam kitab al-hikam ada menyebut : "melewat-lewatkan amalan kebaikan dengan adanya waktu kelapangan itu adalah tanda-tanda jiwa yang sakit."

Waallahu ‘alam